Pemerintah Malaysia Mengutuk Keras Pembunuhan Pemimpin Hamas Ismail Haniyeh

MALAYSIA MENGUTUK SEKERAS-KERASNYA PEMBUNUHAN ISMAIL HANIYEH 

Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya pembunuhan Ismail Haniyeh, Ketua Biro Politik Hamas dan bekas Perdana Menteri Palestin, serta salah seorang pengawal peribadinya pada 31 Julai 2024. 

Malaysia mengucapkan takziah dan menzahirkan simpati kepada ahli keluarga, serta barisan kepimpinan dan rakyat Palestin. 

Malaysia tanpa ragu-ragu mengutuk semua tindakan keganasan, termasuk pembunuhan yang disasarkan, dan menggesa semua negara yang cintakan keamanan untuk turut sama mengecam tindakan tersebut. Insiden ini menekankan keperluan mendesak untuk meredakan ketegangan dan memperkukuhkan keperluan semua pihak untuk terlibat dalam dialog konstruktif dan mencari penyelesaian damai. 

Malaysia menggesa siasatan segera dan menyeluruh terhadap pembunuhan ini, dan mereka yang bertanggungjawab harus dibawa ke muka pengadilan. Malaysia juga menggesa semua pihak untuk bersikap tenang sementara fakta-fakta mengenai pembunuhan ini sedang dikenalpasti. 

Malaysia berdiri teguh bersama rakyat Palestin, dan menegaskan komitmennya untuk menyokong perjuangan mereka bagi keadilan dan penentuan nasib sendiri. Malaysia mengiktiraf peranan dan sumbangan Ismail Haniyeh dalam usaha membebaskan Palestin dan rakyatnya dari penjajahan haram Israel. 

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Yang Berhormat Tan Sri Dato' Dr. Johari Abdul, juga berada di Tehran sebagai wakil Malaysia ke majlis perasmian Presiden Republik Islam Iran. Semua ahli delegasi Malaysia berada dalam keadaan selamat. 

PUTRAJAYA
31 Julai 2024 

KEMENTERIAN LUAR NEGERI MALAYSIA

Baca juga :